Asian Pop Stars Bakal Cipta Bintang Bertaraf Dunia - Lapan Finalis Dilatih Di Akademi Antarabangsa
Sebuah rancangan realiti muzik terbesar Asia, Asian Pop Stars (APS) 2025 bakal mencipta fenomena melahirkan bintang bertaraf dunia dari benua Asia dan Malaysia khasnya.
Lebih menarik bukan hanya pemenang, malah kesemua lapan finalis akan dihantar menjalani persiapan khas untuk mengekalkan momentum mereka sebagai bintang selepas pertandingan berakhir.
APS dianjurkan dan diterbitkan buat kali pertama oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM).
Pengerusinya, Datin Seri Dr. Harnie Mohamed berkata kesemua finalis akan menerima biasiswa khas pengajian seni persembahan selama satu bulan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan dua bulan di Korea Selatan.
"Kami di PGDM berbesar hati dan menyahut cabaran untuk menganjur dan menerbitkan pertandingan ini dalam usaha mencari bakat yang mampu bergelar bintang bertaraf dunia.
"Lebih teruja, ini kali pertama buat kami dan julung kali juga sebuah NGO menganjur dan menerbitkan pertandingan realiti seumpama ini di negara kita," katanya pada majlis pelancaran APS 2025 di ASWARA di sini hari ini.
Dr Harnie berkata, program ini bakal menghimpunkan 20 peserta berbakat dari seluruh Asia yang akan melalui latihan intensif dan persembahan mingguan
selama lima minggu.
Minggu pertama hingga tiga memperlihatkan persembahan tanpa penyingkiran, diikuti minggu ke-4 yang menyaksikan 12 peserta disingkirkan. Seramai lapan finalis akan berentap di Konsert Akhir pada 3 Januari 2026, yang dijangka berlangsung di PICC Putrajaya.
APS 2025 bakal memulakan siaran langsungnya setiap hari Sabtu malam bermula 29 November 2025 di saluran nasional RTM, bermula jam 9.00 malam hingga 11.30 malam.
Minggu pertama hingga tiga emperlihatkan persembahan tanpa penyingkiran, diikuti minggu ke-4 yang menyaksikan 12 peserta disingkirkan. Seramai lapan finalis akan berentap di Konsert Akhir pada
3 Januari 2026, yang dijangka berlangsung di PICC Putrajaya.
Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah utama berupa USD20,000, piala pusingan dan sijil pengiktirafan.
Selain persembahan, peserta akan menyertai penjelajahan khas "Cuti-Cuti Malaysia" selama sembilan hari sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, yang merangkumi sembilan negeri dengan
pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan.
Pada majlis itu, seniwati Fauziah Ahmad Daud diumumkan sebagai Pengetua dan dibantu oleh dua tenaga pengajar iaitu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografer).
Maklumat lanjut berhubung APS boleh didapati menerusi platform sosial media @asian.pop.stars dan laman web https://asianpopstars.asia .