Industri muzik tanah air menyambut kemunculan bintang baharu berusia 14 tahun, Umairah yang hadir dengan single berjudul Sayap. Artis di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd ini pernah mencuri perhatian menerusi lagu raya sulungnya, Tak Balik Raya.
Masih bergelar pelajar sekolah, Umairah menggunakan kesempatan pada cuti persekolahan untuk melancarkan serta mempromosikan single Sayap. Sebagai pelajar, beliau perlu bijak membahagikan masa antara Pelajaran dan karier agar kedua-duanya berjalan seiring.
Sayap adalah hasil ciptaan dua komposer iaitu Resa Husin dan Farouk Roman. Lagu ini menggambarkan perjalanan cinta yang membuat seseorang terbang tinggi penuh harapan, namun akhirnya akur bahawa cinta tersebut bukan miliknya. Meskipun lagu ini bertemakan kisah cinta namun Umairah dapat menghayatinya kerana terpikat dengan melodi Sayap yang menyentuh perasaan.
Bagi Umairah, peluang merakamkan lagu ini adalah satu pengalaman yang berharga baginya. Jika sebelum ini beliau muncul di pentas persembahan menyampaikan lagu penyanyi lain, kini beliau sudah memiliki lagu sendiri.
``Saya sangat teruja kerana diberi peluang untuk menyanyikan Sayap. Lagu ini begitu menyentuh jiwa saya kerana menceritakan betapa indahnya jatuh cinta tetapi pedihnya menerima kehilangan. Saya berharap agar pendengar dapat merasakan emosi yang saya sampaikan,” ujar Umairah.
Pelancaran Sayap bukan sahaja memperkenalkan Umairah sebagai wajah baharu industri muzik Malaysia, tetapi juga membuktikan kesungguhan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia dalam mencungkil bakat generasi muda.
Dengan keindahan melodi, kekuatan lirik dan persembahan tulus daripada Umairah, Sayap diyakini akan mendapat tempat di hati para pendengar
Single Sayap kini boleh didapati di semua platform digital mulai 16 September 2025, manakala video muzik rasmi dilancarkan pada 17 September 2025, jam 3 petang di saluran Youtube Universal Music Malaysia. Video muzik Sayap diarah oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production.
Tajuk: Sayap
Artis: Umairah
Penerbit: SN Legacy Sdn. Bhd.
Edaran: Universal Music Sdn Bhd.
Komposer/Lirik: Resa Husin (Sony Music Publishing Indonesia), Farouk Roman (Nova Music)
Penerbit: Resa Husin & Farouk Roman
Penyusun Muzik: Reza Ramsey
Mixing & Mastering: Wan Salleh
Tarikh Pelancaran Digital: 16 September 2025
Tarikh Pelancaran Muzik Video: 17 September 2025, jam 3 petang (YouTube Universal Music Malaysia)