1 min read
AIM24 KEMBALI DENGAN KATEGORI BAHARU, GANJARAN LEBIH BESAR, DAN PENGIKTIRAFAN BERTERUSAN TERHADAP KEUNGGULAN MUZIK MALAYSIA

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) — acara anugerah muzik paling berprestij dan lama bertapak di negara ini yang telah mengangkat martabat seni muzik tempatan sejak 1993. AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, pukul 9 malam, dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM, penyiar rasmi AIM24.


Selepas tiga tahun tidak dianjurkan, AIM24 kembali dengan tiga kategori baharu selaras dengan kepelbagaian dan kekayaan landskap muzik Malaysia:


Lagu Perpaduan Terbaik

Mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan, inklusiviti dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan bahasa.


Lagu Tradisional Terbaik

Menghargai ciptaan yang berakar umbi daripada warisan muzik tradisional Malaysia, sekaligus melestarikan identiti dan budaya tempatan.


Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik

Menonjolkan kolaborasi rentas negara yang menampilkan artis Malaysia bersama rakan kolaborasi antarabangsa dalam mengembangkan bakat ke peringkat global.


Penambahan ini mencerminkan komitmen AIM dalam menjunjung prinsip kepelbagaian, warisan budaya, keterangkuman, dan pengiktirafan antarabangsa untuk industri muzik Malaysia.






Sokongan Kerajaan Meningkat: RM700,000 Dana DKK daripada Kementerian Komunikasi Malaysia


Sebagai dorongan besar kepada industri, Kementerian Komunikasi Malaysia akan memperuntukkan RM700,000 kepada sebelas (11) pemenang kategori AIM24. Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23.


Dana ini merupakan sebahagian daripada program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) untuk menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif yang bernilai tinggi dari segi komersial dan seni. Dana akan disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik.


“AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik. Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia. Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24.


“Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24. Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” tambah beliau.


Rosmin kemudiannya mengumumkan tempoh pencalonan, kriteria kelayakan, kategori anugerah dan metodologi penghakiman:


Tempoh Pencalonan dan Kelayakan


Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu/album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penyerahan pencalonan AIM24 oleh ahli RIM akan dibuka pada hari Rabu, 4 Jun 2025 dan akan ditutup pada hari Jumaat, 4 Julai 2025 pukul 5.00 petang. Borang pencalonan yang berkaitan boleh diisi dan diserahkan di atas tailian aim1.org.my/online-submission-2025/ 


Kategori Anugerah


Senarai Penuh 31 Kategori AIM24 adalah seperti berikut:


KATEGORI UTAMA


ARTIS BARU TERBAIK

VOKAL LELAKI TERBAIK 

VOKAL WANITA TERBAIK 

VOKAL KUMPULAN TERBAIK 

KUGIRAN TERBAIK 

VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK 

VIDEO MUZIK TERBAIK

RUNUT BUNYI (OST) TERBAIK DI DALAM FILEM/DRAMA

LAGU ROCK TERBAIK

LAGU POP TERBAIK

LAGU RAP/HIP HOP TERBAIK

LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TERBAIK

LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK

LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK

LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK

LAGU MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA

KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK

LAGU NASYID TERBAIK 

LAGU ETNIK TERBAIK

LAGU PERPADUAN TERBAIK 

LAGU TRADISIONAL TERBAIK 

ALBUM TERBAIK

LAGU TERBAIK


ANUGERAH KHAS


ANUGERAH SRI WIRAMA


KATEGORI PRA-ANUGERAH


KULIT SINGLE/ALBUM TERBAIK

RAKAMAN ALBUM TERBAIK

RAKAMAN LAGU TERBAIK

SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU

LAGU PALING TINGGI DI STRIM

VIDEO MUZIK RASMI PALING TINGGI DITONTON DI YOUTUBE

LAGU PALING TINGGI DITONTON DI TIKTOK


Proses Penghakiman


Seperti amalan sebelum ini, penjurian akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri muzik tempatan yang dihormati, diketuai oleh Ketua Juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM. Markah yang diberikan oleh para juri akan diaudit oleh juruaudit yang dilantik sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan.. Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih oleh Majlis RIM. Pengumuman lima (5) calon akhir AIM24 dijangka pada Ogos 2025.


"RTM berasa bangga dan berbesar hati menjadi penyiar rasmi untuk Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sebuah platform berprestij yang telah lama mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik tanah air. Sebagai penyiar nasional, kami percaya bahawa muzik mempunyai kuasa yang luar biasa sebagai alat penyatuan budaya dan sosial. AIM bukan sekadar acara anugerah, tetapi merupakan penghormatan kepada kreativiti, ketekunan, dan kecemerlangan para penggiat muzik Malaysia — termasuk penyanyi, penulis lagu, penerbit dan komposer”, kata Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran, RTM.


Beliau menambah bahawa ”RTM komited dalam menyokong bakat tempatan dengan mengetengahkan hasil karya mereka kepada khalayak ramai, sekaligus memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Kerjasama bersama RIM selari dengan visi RTM untuk mengangkat kandungan tempatan dan memperluas platform kepada artis-artis tempatan.


Kami berharap kerjasama ini akan terus menyemarakkan ekosistem muzik Malaysia yang mampan dan berdaya saing di peringkat global, di samping memberi inspirasi kepada generasi bakat baharu. RTM amat teruja untuk menyampaikan pengalaman AIM24 yang bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia."