Jun 2025 – Segalanya bermula tanpa disangka, penyanyi dan pelakon terkenal, Hannah Delisha kini tampil dengan sebuah kolaborasi bersama kumpulan pop-folk dari Indonesia, Batas Senja, dalam versi terbaharu lagu viral mereka, “Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version)”. Lagu yang telah mencatat lebih 340 juta streams di Spotify dan lebih 79 juta tontonan di YouTube ini kini dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih mendalam dan emosional dengan sentuhan suara Hannah yang lunak dan penuh jiwa.
Menurut vokalis utama dan pencipta lagu, Reza Lukita Apriadi (Masitong), lagu ini membawa makna peribadi yang cukup mendalam dan telah menyentuh ramai pendengar sejak ia mula dilancarkan.
“Lagu ini adalah kisah benar dari hidup saya sendiri. Ditulis ketika kondisi hidup saya yang sedang susah, tetapi saya terus membawa harapan dan doa semoga suatu hari nanti mampu memiliki rumah sendiri dan hidup bahagia.” kongsi Masitong.
Tambahnya lagi, “Saya rasa Nanti Kita Seperti Ini adalah lagu yang sangat dekat dengan hati ramai orang. Lagu ini menyimpan tenaga positif yang saya ingin kongsikan dengan menjangkau pendengar yang lebih luas dan jangka hayat yang lebih lama dalam ingatan mereka. Versi baru ini adalah bentuk perayaan terhadap harapan itu sendiri,”.
Menariknya, kolaborasi dengan Hannah Delisha ini tercetus secara kebetulan tetapi penuh makna. Masitong pertama kali melihat Hannah menyanyikan lagu ini di TikTok dan terus tertarik dengan keunikan suaranya.
“Saya nampak Hannah cover lagu ini, terus rasa dia memang orang yang sesuai. Dia cantik, bersuara indah dan sangat ekspresif. Saya yakin kalau kami bergabung, hasilnya pasti luar biasa,” ujar Masitong.
Versi sinematik ini menampilkan susunan muzik yang jauh lebih besar dan penuh rasa dengan elemen orkestra yang dirancang untuk membawa pendengar ke dalam suasana yang lebih mendalam dan menyentuh emosi.
“Sejujurnya, kali pertama saya dengar lagu ni, saya terus rasa connected. Lagu ni sangat indah dan penuh makna. Saya memang minat dan menghormati karya-karya mereka, jadi saya rasa sangat bersyukur dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada versi ini.” kata Hannah.
“Versi ini memang rasa sangat berbeza. Nuansanya fresh, lebih elegan dan emosional. Kami betul-betul nak cipta pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan berjiwa,” jelas Masitong.
Proses pembikinan versi ini turut melibatkan ramai pemuzik profesional, dari pengarah muzik sehinggalah pemain muzik jemputan. Ia bukan proses yang mudah, tetapi sangat memuaskan.
“Banyak perbincangan dan eksplorasi muzik berlaku di belakang tabir. Sulit tapi sangat menyeronokkan,” kata Masitong mengenai proses kreatif yang akhirnya melahirkan karya yang boleh dianggap sebagai masterpiece kumpulan ini.
Walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, hasilnya tetap harmoni.
“Sejujurnya, semuanya berlaku dengan sangat cepat! Saya rasa Batas Senja siapkan susunan semula lagu ni dalam masa seminggu atau mungkin kurang. Kami melakukan rakaman secara berasingan dan selepas hanya 4 hari dari sesi rakaman saya, kami terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik.” cerita Hannah.
Tambahnya lagi, “Mereka memang sangat santai dan ramah, memang senang sangat nak bekerjasama dengan mereka. Saya rasa suara saya dan Masitong serasi dan seimbang. Saya memang suka kesederhanaan melodi lagu ni, mudah nak ikut nyanyi, tapi tetap mendalam dengan lirik yang penuh makna dan susunan muzik yang indah.”
Sebagai seorang wanita, Hannah juga melihat lagu ini dari sudut yang lebih introspektif.
“Lagu ni buat saya fikir tentang momen-momen kecil dalam hubungan yang kita selalu terlepas pandang. Ia bukan lagu patah hati, tapi lebih kepada menghargai dan itu yang sangat menyentuh saya.”
“Saya harap lagu ni buat orang rasa tenang, rasa disayangi dan percaya bahawa membina hidup dengan seseorang tu satu perkara yang indah. Walaupun masih single, saya harap lagu ni beri semangat untuk percaya pada cinta yang sederhana tapi bermakna.”
Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version) kini boleh didengari di semua platform digital dan Video Muzik boleh ditonton di saluran YouTube Hannah Delisha bermula 27 Jun 2025. Jangan lepaskan peluang untuk dengar dan hayati semula lagu ini dalam versi yang lebih mendalam, matang, dan penuh rasa.
Artis: Batas Senja, Hannah Delisha
Penulis Lirik : Reza Lukita Apriadi (Masitong)
Komposer: Reza Lukita Apriadi (Masitong)
MV Link: https://youtu.be/cgnf1oL87so