2025 — Penyanyi dan penulis lirik muda berbakat, Ismail Izzani,
kembali menghiasi persada muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul
Tenggelam, sebuah karya yang menzahirkan perasaan cinta yang mendalam dan jujur,
disampaikan melalui gubahan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik yang dekat dengan
hati.
Liriknya ditulis oleh Ismail Izzani sendiri bersama Brendan Lim Seng Meng, dengan
komposisi oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta disusun dan diterbitkan oleh
pasukan produksi ternama MFMF.
Tenggelam menampilkan sisi kematangan Ismail dalam menyampaikan kisah cinta secara
metafora tanpa kehilangan jiwa pop moden yang menjadi kekuatan utama dalam karya-
karyanya sebelum ini. “Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. Tenggelam
adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam, tentang bagaimana perasaan
itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,”
katanya.
Menurut Ismail, penciptaan lagu ini berlaku secara sangat semula jadi dalam sesi
pertamanya di studio MFMF. “Sebaik sahaja saya dengar beat itu, ‘hook’ terus datang.
Prosesnya sangat organik dan saya bersyukur kerana banyak bahagian lirik datang
daripada saya sendiri,” katanya.
Bagi Ismail, pengalaman bekerjasama dengan MFMF. bukan sahaja memperkayakan
kreativitinya, malah memberikan ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan
bermakna. Ismail mengakui persekitaran studio yang selesa amat penting dalam
membolehkan seorang artis menzahirkan ekspresi kreatif secara jujur.
Muzik video rasmi Tenggelam menampilkan pendekatan berbeza, tanpa jalan cerita yang
konvensional, sebaliknya memberi fokus kepada mood dan emosi. Muzik Video
Tenggelam juga mempunyai getaran yang sangat Y2K
Kami memulakan penggambaran seawal 4 pagi. Tapi saya suka sebab bila mula awal, ada
ruang untuk improvise. Banyak ilham spontan muncul ketika berada di set. MV ini bukan
tentang naratif, tetapi tentang vibe, perasaan yang ingin disampaikan menerusi visual dan
ekspresi,” katanya.
Antara detik yang paling bermakna bagi Ismail dalam penghasilan lagu ini adalah peluang
untuk kembali bekerjasama dengan individu yang pernah bersamanya sejak hari pertama,
Ghazi Maslan dan Lily.
Mengenai harapan terhadap lagu ini, Ismail kekal bersederhana namun tulus dalam
impiannya.
“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima
saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang
boleh memberi kesan kepada mereka. “Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih
banyak karya yang saya ingin hasilkan selepas ini,” katanya.
Tenggelam kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti
Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi telah
dilancarkan di saluran YouTube Ismail Izzani pada 19th June 2025