1 min read
"KISAH PENUH KECEWA" - KOLABORASI EMOSI ERNIE ZAKRI & ANGGI MARITO
MENGGAMIT NADA HATI DUA NEGARA

Bintang vokal dari Indonesia, Anggi Marito, telah membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang telah berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura. Ini merupakan kali pertama Ernie Zakri dan Anggi Marito persembahkan lagu Kisah

Penuh Kecewa secara langsung.

Susulan itu, Anggi Marito ke Kuala Lumpur untuk promosi Kisah Penuh Kecewa dan satu sesi makan malam eksklusif bersama peminat akan diadakan di Hameediyah Bukit Bintang pada 4 Jun 2025. Dalam suasana yang intim dan mesra, para peminat berpeluang

menikmati

pengalaman fine dining bersama Anggi Marito dan Ernie Zakri. Malam yang cukup istimewa ini memberikan peminat peluang merasai suasana makan malam yang unik dan penuh makna bersama artis kesayangan mereka. Ucapan terima kasih istimewa ditujukan kepada Hameediyah atas layanan yang luar biasa dan penyediaan lokasi yang begitu sempurna.

Menggabungkan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi hebat ini, lagu "Kisah Penuh Kecewa" menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi dan

berjiwa.

Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) berkata, lagu ini menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik

kekecewaan tersebut, wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

"Lagu 'Kisah Penuh Kecewa' ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu

meneruskan hubungan.

Tapi di

penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran," katanya.

Menurut Ernie, walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan

bahawa muzik tidak mengenal

sempadan. Gabungan suara unik dan emosi yang tulus

menjadikan "Kisah Penuh Kecewa" sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih,

namun penuh kekuatan. 


"Lagu ini sangat 'straightforward' dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman," kata Ernie lagi.

Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya.

Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu Aura itu sebagai seorang yang bukan sahaja mempunyai vokal hebat, tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan begitu menyentuh. "Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya 'power' dan 'feel' yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya," ujar Anggi dengan penuh teruja.

Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital pada 23 Mei 2025. Saksikan juga video muzik rasmi yang membawa naratif visual seiring dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat ini.