Syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn.
Bhd., yang diasaskan oleh peneraju industri Dato’ Khairul Anwar Salleh dan penggiat
seni Adlin Aman Ramlie, hari ini mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee
yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala
Lumpur, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Sidang media pelancaran yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Ulu
Kelang, Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan barisan artis dan maestro muzik
terkemuka yang bakal menjayakan Konsert Legasi P. Ramlee. Acara ini turut menjadi
medan pengenalan kepada visi kreatif dan produksi berskala besar yang diilhamkan
oleh Tanahair Films di bawah tajuk ‘Projek Perdana P. Ramlee’ sebagai penghargaan
terhadap seniman agung selain kecemerlangan legasi seni dan budaya yang pernah
dicapai oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan angkatan sezamannya.
Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan yang unik dan luar biasa dengan
menggabungkan konsep klasik, kontemporari dan popular dalam gaya persembahan
yang teatrikal, dramatik dan sinematik. Ia bukan sekadar penghormatan kepada
Seniman Agung negara, malah satu usaha menyemarakkan semula semangat dan
keindahan era kegemilangan seni Melayu yang menjadi khazanah dan legasi kepada
khalayak generasi masa kini dan akan datang.
Dengan membariskan empat Maestro Muzik terkemuka Tanahair, terdiri daripada Dato’
Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapen, pengarahan
muzik mereka akan mengemudi kekuatan 60 pemuzik orkestra yang bakal
menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee. Dipersembahkan secara medley, duet
mahupun solo secara klasik mahupun susunan muzik baharu dengan gaya lebih terkini,
dipercayai ‘repertoire’ persembahan itu nanti akan mampu menyentuh emosi dengan
kesan lebih segar selain menghormati keasliannya.
Para penonton bakal disajikan dengan gandingan ikon legenda dan bintang terkini
terdiri daripada Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan
Liza Hanim yang akan mengekspresikan penghargaan mereka kepada Allahyarham
Tan Sri P. Ramlee melalui nyanyian dan gaya persembahan mereka yang tersendiri.
Sebagai penghargaan kepada warisan seni Tan Sri P. Ramlee yang tidak pernah luput
ditelan zaman, konsert ini turut menampilkan persembahan istimewa oleh tiga figura
yang sinonim dengan gaya dan persona seniman agung tersebut iaitu P. Radhi, Danie
Hasbullah dan Musly Ramlee. Dikenali sebagai antara 'impersonator' paling menyerlah
di negara ini, mereka akan membawa penonton menyusuri era klasik yang penuh
nostalgia menerusi interpretasi tersendiri yang menggabungkan keaslian suara dan
gaya P. Ramlee dalam nuansa persembahan kontemporari.
Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, meluahkan rasa
teruja atas pelancaran inisiatif kedua Projek Perdana P.Ramlee dalam bentuk konsert,
selepas melancarkan format Legasi Podcast sejak September 2024 yang lepas. Beliau
menyifatkan pelancaran ini sebagai langkah penting dalam mengangkat martabat seni
tanah air ke aras yang lebih tinggi.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang
menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta
melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah
seni kita,” ujarnya.
Dalam nada yang penuh semangat, Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik dan
pencetus utama konsert menegaskan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee bakal
menyajikan pengalaman yang bukan sahaja nostalgik, tetapi juga segar dan
mengagumkan.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke
era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya
sentuhan empat figura maestro muzik tersohor. Konsert ini bakal membangkitkan
semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi,
tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau
kenangan,” katanya.
Dapatkan tiket-tiket di www.ticket2u.com.my bermula Jumaat, 27 Jun 2025. Jangan
lepaskan peluang menyaksikan malam penuh magis dan penghargaan terhadap seni
agung tanah air! Ikuti perkembangan dan sorotan eksklusif di media sosial rasmi
@konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast di Facebook, Instagram
dan TikTok.