By :!Luqman
haiselebritis@gmail.com
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, mengakui anak guamnya yang juga penyanyi Nubhan akan ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang, esok, bagi menghadiri prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Akberdin berkata, esok akan berlangsung sebutan pertama bagi permohonan pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39.
“Ya Nubhan akan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang, esok, kerana dia yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang berlaku pada Ogos, di dalam kereta.
“Biasalah dalam rumah tangga ada perbezaan pendapat dan perselisihan faham, tapi saya boleh katakan, tiada apa yang berat,” katanya.
Akberdin berkongsi sebelum ini, Nubhan ada menghantar surat untuk memohon perkara-perkara membabitkan hak selepas perceraian, bagaimanapun kedua-dua pihak berdiam diri.
“Sebelum Ogos, ada perbincangan mengenai hak-hak selepas bercerai yang dihantar oleh Nubhan dan pihak kami respon.
“Tapi pihak Nubhan, diam jadi kami beranggapan mereka sudah okay dan kemudian kami dapat dokumen klien saya (Nubhan) melafazkan cerai dalam kereta,” katanya.
Penyanyi juga ahli perniagaan itu dipercayai tidak lagi sebumbung dengan Afifah Hidayah selepas melafazkan cerai sekitar Ogos lalu.
Terdahulu, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.