1 min read
Teater Aspirasi P’Ramlee Kembali Menyemarakkan Legasi Seniman Agung



Gabungan Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku Tampil Dalam Pementasan Sarat Nostalgia


 Persatuan Hidayah dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan  Pustaka (DBP) bakal mementaskan Teater Aspirasi P’Ramlee pada 4 dan 5 Julai 2025 bertempat di Auditorium DBP, Kuala Lumpur. Naskhah ini menghimpunkan elemen komedi dan tragedi menerusi gabungan dua karya ikonik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee — Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku — dalam satu persembahan istimewa yang dijangka menyentuh hati penonton.


Menurut Pengarah Teater, Yusry Kamaruzaman, pementasan ini membawa misi besar untuk mengangkat semula warisan seni agung P. Ramlee agar terus dikenang dan dihargai oleh generasi baharu.


“Walaupun banyak karya P. Ramlee sudah dipentaskan sebelum ini, Aspirasi P’Ramlee tampil dengan kelainan tersendiri. Kami gabungkan dua naskhah penting dengan elemen kesedihan dan kelucuan yang digarap secara kreatif agar ia kekal relevan dan segar,” ujarnya.


Menambah kekuatan kepada produksi ini adalah barisan pelakon hebat tanah air merangkumi nama-nama besar dan wajah baharu yang berbakat besar. Antara yang terlibat ialah:

Datuk Jalaluddin Hassan, Roslan Madun, Tokoh Teater Kamarul AR, Ema Akma, Suky San, Yazid Asril, Sharil Kamil, dan Najua P’Ramlee.


Yusry turut menyatakan bahawa teater ini adalah lambang penghormatan kepada P. Ramlee yang pernah mengungkapkan kata-kata keramatnya, “Aku Akan Hidup Seribu Tahun Lagi”. Semangat itulah yang menjadi asas kepada keseluruhan pementasan.


Maklumat Pementasan:

📅 Tarikh: 4 & 5 Julai 2025

📍 Lokasi: Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

⏰ Masa: 8.30 malam

🎟️ Tiket: Untuk tempahan atau maklumat lanjut, hubungi Diba di 013-700 4568


Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sebuah karya yang bukan sahaja mengimbau memori zaman kegemilangan P. Ramlee, tetapi juga membuktikan bahawa seni agung Melayu terus hidup dan segar di pentas teater moden.